EIS atau SIP Perkeso Siapa yang layak menuntut?



Salam sejahtera kepada semua pembaca Chris Blog, Semoga anda sihat walafiat disamping keluarga tercinta. Kita semua maklum Wabak COVID-19 yang kini sedang melanda dunia dan tidak terkecuali di negara kita Malaysia. Sedikit sebanyak dari wabak berkenaan memberi kesan kepada semua termasuk kepada pekerja-pekerja di Malaysia, Mungkin ada sebilangannya putus sumber pencarian atau diberhentikan kerja kerana pihak majikan sudah tidak mampu membayar gaji pekerja mereka.

Dengan sukacitanya saya disini ingin berkongsi serba sedikit maklumat tentang Employee Insurance System (EIS) atau Sistem Insurans Pekerja (SIP).

Apa itu EIS atau SIP?

Sistem Insurans Pekerjaan, (SIP) mula dilaksanakan pada Januari 2018 sebagai satu jaringan keselamatan sosial yang bertujuan untuk:
  1. Menyediakan bantuan kewangan segera (7 hari selepas pengesahan hilang kerja) kepada pencarum yang hilang pekerjaan.
  2. Membantu pencarum yang hilang pekerjaan mendapat pekerjaan baru melalui program penempatan semula pekerjaan termasuk bantuan mobiliti.
  3. Meningkatkan kebolehpekerjaan pencarum yang hilang pekerjaan melalui program latihan & latihan vokasional.

Siapakah yang layak menuntut?

Semua pekerja swasta / pencarum yang kehilangan pekerjaan layak memohon bantuan kewangan, kecuali:
  1. Perletakan jawatan secara sukarela
  2. Tamat tempoh kontrak perkhidmatan
  3. Penamatan kontrak perkhidmatan atas persetujuan bersama majikan tanpa terma dan syarat;
  4. Penyiapan kerja mengikut kontrak perkhidmatan;
  5. Persaraan; atau
  6. Penamatan kontrak perkhidmatan disebabkan oleh salah laku.
Bantuan kewangan akan diberi selama 6 bulan maksimum, dan berjumlah RM10,800 maksimum.


Bagaimana hendak menuntut?
  1. Permohonan SIP boleh dibuat secara online di laman web Perkeso dengan mendaftar diri sebagai pencari kerja dan mengisi serta melampirkan borang dan perintah / surat pengesahan.
  2. Permohonan yang lengkap akan diproses dan disemak berdasarkan kelayakan am dan syarat kelayakan caruman.
  3. Kemudian, permohonan tersebut akan disalurkan kepada PERKESO/ JTK / JPP bagi menentusahkan kehilangan pekerjaan yang berlaku. Setelah kelulusan dibuat, penyediaan baucar dan pemindahan wang akan dibuat terus ke dalam akaun pemohon.

Maklumat AM dan Dokumen Yang diperlukan untuk menuntut EIS atau SIP

Permohonan hendaklah dikemukakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kehilangan pekerjaan [Seksyen 28, ASIP]. Kelewatan dalam menghantar permohonan ini akan menyebabkan tuntutan faedah tidak dapat diproses.

Salinan dokumen utama hendaklah dilampirkan bersama dengan permohonan ini.
  1. Salinan kad pengenalan
  2. Salinan surat pemberhentian kerja (termasuk VSS, MSS atau seumpamanya)
  3. Salinan penyata gaji (6 bulan kebelakang sebelum bulan kehilangan pekerjaan)
  4. Salinan akaun bank
Dokumen sokongan
  1. Salinan laporan polis (contoh gangguan seksual, ugutan dsb.)
  2. Salinan bukti arahan yang diberikan bagi kerja-kerja berbahaya bukan dalam skop kerja mengikut kontrak
Note:
Dokumen asal mestilah dibawa bersama semasa perjumpaan dengan pegawai PERKESO.

Sebarang pertanyaan atau masalah boleh menghubungi talian khidmat pelanggan di 1300-22-8000 atau mengunjungi Pejabat PERKESO yang berhampiran.




tandatangan

No comments

Powered by Blogger.